Thursday 28 July 2011

Sedco rancang bina lima R&R dalam RMK-10

Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (Sedco) merancang membina lima lagi kawasan Rawat dan Rehat (R&R) dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10).


Pengerusi Sedco, Datuk Mohd. Ariffin Arif berkata, kini pihaknya telah mengenal pasti beberapa kawasan bersesuaian di seluruh negeri bagi dibina dengan kemudahan itu.

"Kita merancang membina lima lagi R&R di Sipitang, Nabawan, Sandakan, Maliau Basin dan Tenom dalam RMK-10. Pembinaan akan dilaksanakan secara berperingkat sebaik sahaja mendapat kelulusan dan peruntukan," katanya di sini, baru-baru ini.

Menurutnya, setiap R&R yang dibina memerlukan kos antara RM3 juta dan RM5 juta.

Katanya, pelbagai kemudahan akan dibina di kawasan R&R berkenaan bagi kemudahan pengguna jalan raya.
Dalam pada itu, beliau berkata, kini terdapat lebih 10 R&R dibina di seluruh negeri oleh Sedco.

Jelasnya, pembinaan R&R itu mendapat sambutan yang baik daripada pengguna jalan raya dan masyarakat setempat.

Sementara itu, beliau berkata, selain untuk kemudahan penguna jalan raya, pembinaan R&R telah membantu meningkatkan ekonomi masyarakat setempat.

Ujarnya, penubuhan R&R bukan sahaja membuka banyak peluang perniagaan tetapi secara tidak langsung memajukan kawasan berhampiran.

Komen Anda

0 Responses to "Sedco rancang bina lima R&R dalam RMK-10"