Saturday 23 July 2011

Konsul Indonesia Di Tawau Gesa Pekerja Indonesia Patuhi Program 5P

Semua kira-kira 50,000 pekerja rakyat Indonesia yang bekerja di pelbagai sektor di Tawau digesa mendaftar dengan Jabatan Imigresen melalui program Pendaftaran, Pengampunan, Pemantauan, Penguakuasaan dan Pengusiran (5P) kerajaan Malaysia.

Konsul Indonesia di Tawau, Widoratno Rahendra Djaya, berkata pihaknya akan memberi kerjasama sepenuhnya bagi memastikan mesej 5P berkenaan sampai kepada rakyat Indonesia dan keluar beramai-ramai mendaftar.

"Kita memang amat berharap program 5P ini berjaya sepenuhnya dengan pendaftaran (pendatang asing tanpa izin) mencapai tahap optimum. Jadi kerjasama daripada pihak majikan dan media massa juga diperlukan agar maklumat program 5P ini sampai kepada pekerja," katanya.

Widoratno berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri program Kempen Pencegahan Janayah, anjuran Polis Diraja Malaysia di Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau di sini hari ini.

Menurutnya memandangkan program berkenaan sudah berjalan seminggu, PATI dari negara berkenaan tidak harus menunggu hingga saat-saat akhir untuk mendaftar bagi mengelak kesesakan atau sebarang kerumitan yang boleh menyusahkan diri sendiri.

Program 5P di seluruh Sabah bermula pada 18 Julai lalu dan akan berakhir pada 1 Ogos depan.

Komen Anda

0 Responses to "Konsul Indonesia Di Tawau Gesa Pekerja Indonesia Patuhi Program 5P"