Friday 29 July 2011

Empat pondan diberkas ketika ligat cari pelanggan

Empat pondan yang dipercayai sedang ligat mencari pelanggan di sekitar Bandar Sabindo di sini, diberkas Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) Tawau, pada malam kelmarin.


Kesemua lelaki itu yang berpakaian dan bermekap seperti wanita, dicekup hasil penyamaran anggota JHEAINS dan Bahagian Penguatkuasa Majlis Perbandaran Tawau (MPT), kira-kira pukul 11 malam.

Pegawai Tadbir Agama JHEAINS Tawau, Abdul Imam Basirun berkata, kesemua pondan terbabit berusia dalam 20-an dan hanya seorang daripada mereka yang memiliki dokumen pengenalan diri.

"Tindakan kesemua pondan itu memakai pakaian wanita merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 92, Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah.

"Di bawah peruntukan undang-undang tersebut, jika sabit kesalahan mereka boleh dihukum denda RM1,000 atau penjara enam bulan atau kedua-duanya sekali," katanya kepada pemberita selepas menyertai operasi itu di sini.

Operasi yang disertai oleh lebih 20 penguat kuasa MPT dan JHEAINS itu, turut disertai oleh Penolong Pengarah Kanan Bahagian Penguatkuasaan Undang-Undang JHEAINS, Awang Syairin Awang Bakar.
Sementara itu, Pegawai Penguat Kuasa MPT, Azinun Sanarul berkata, operasi itu bertujuan bagi membersihkan kawasan Sabindo daripada menjadi 'sarang' pondan.

"Saya juga amat berterima kasih kepada pihak JHEAINS khasnya kepada Abdul Imam kerana sentiasa memberi kerjasama kepada pihak kita, dalam operasi-operasi yang diadakan.

"Kita berharap kerjasama tersebut akan berterusan demi memastikan bandar Tawau bebas daripada aktiviti-aktiviti yang tidak bermoral," katanya.

Komen Anda

0 Responses to "Empat pondan diberkas ketika ligat cari pelanggan"