Sunday 31 July 2011

Kerajaan Atur Banyak Program Untuk Bantu Rakyat, Kata Musa

Kerajaan telah mengatur banyak program untuk membantu rakyat yang berminat dalam perniagaan terutama perniagaan kecil-kecilan, kata Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman.

Beliau berkata kerajaan negeri dan pusat melalui agensi-agensinya turut memberi bimbingan dan latihan kemahiran serta bantuan modal untuk mereka yang mahu berkecimpung dalam bidang keusahawanan dan perniagaan.

Musa mengingatkan mereka yang baru berjinak dalam bidang perniagaan supaya bersifat jujur dan ikhlas kerana kejayaan tidak dicapai dalam sekelip mata tanpa menempuh pelbagai cubaan dan rintangan.

Beliau berkata demikian semasa melancarkan Program Juara Rakyat, Bulan Ekonomi dan Keusahawan anjuran Umno Tawau di perkarangan Majlis Perbandaran Tawau semalam.

Bulan ekonomi dan keusahawanan merupakan kemuncak program Juara Rakyat Umno Bahagian Tawau, telah menarik penyertaan seramai 60 syarikat, usahawan kecil dan agensi kerajaan dan bank.

Ketua Menteri berkata menerusi program itu, agensi kerajaan dan pengusaha kecil dapat bersemuka di samping menjadi platform untuk pemimpin bertemu rakyat.

Dalam pada itu, Musa yang juga Pengerusi Barisan Nasional Sabah, turut mengingatkan rakyat di negeri ini supaya tidak terpengaruh dengan janji-janji manis pihak pembangkang.

Katanya pada pilihan raya umum akan datang, rakyat tidak harus memberi mandat kepada mana-mana parti pembangkang di negeri ini untuk mewakili mereka demi kesinambungan pembangunan di Sabah.

Komen Anda

0 Responses to "Kerajaan Atur Banyak Program Untuk Bantu Rakyat, Kata Musa"