Monday 1 August 2011

Program Juara Rakyat “Ekonomi dan Keusahawanan” UMNO Tawau

Program Juara Rakyat “Ekonomi dan Keusahawanan” UMNO Tawau 2011 berlangsung dengan jayanya kelmarin di Dataran Majlis Perbandaran Tawau. Program anjuran Biro Ekonomi dan Keusahawanan UMNO Tawau yang dipengerusikan Tn Hj Nizam ABT bermula sejak pagi hari lagi dengan penganjuran Seminar Ekonomi yang dihadiri lebih 100 usahawan kecil . Sepanjang hari pula, pameran perkhidmatan keusahawanan, produk IKS, agensi Kerajaan, institusi perbankan juga terus berlangsung dengan lebih 60 gerai pameran yang dikunjungi orang ramai.

Kemuncak program disebelah malam adalah Perasmian Program Juara Rakyat yang disempurnakan sendiri oleh YAB DSP Musa Hj Aman, Pengerusi BN Sabah merangkap Ketua Menteri yang dihadiri lebih 20,000 warga Tawau. Dalam ucapan perasmiannya, DSP Musa menyatakan hasrat Kerajaan Negeri dan Persekutuan untuk menggalakkan lebih ramai rakyat menceburkan diri dalam bidang keusahawanan demi meningkatkan penguasaan ekuiti ekonomi semua golongan . Sehubungan itu, kerajaan telah dan akan terus menyediakan pelbagai peluang termasuk penyediaan dana berbentuk geran maupun pinjaman untuk membantu modal perniagaan bagi usahawan yang layak. Pada masa yang sama, DSP Musa juga menasihatkan usahawan dan bakal usahawan agar mengamalkan sikap Berdisiplin, Jujur dan Bersungguh-sungguh dalam menjalani kehidupan sebagai usahawanan.

DSP Musa juga turut menasihatkan rakyat terus bersatu-padu bagi memastikan keamanan yang sedia ada di negara ini akan berterusan untuk melahirkan suasana yang kondusif bagi penggalakan peningkatan ekonomi dan kehadiran pelabur-pelabur.

Program malam tersebut juga turut diisi dengan penyampaian Dana Pinjaman dari Yayasan Usaha Maju, BSN, MARA kepada beberapa usahawan dan penyampaian Anugerah Usahawan Cemerlang kepada usahawan berjaya dalam bidang-bidang tertentu. Sempena bulan Ramadhan , beberapa golongan miskin dari pelbagai suku-kaum dan agama juga menerima bantuan tunai dan beras yang disampaikan oleh YAB DSP Musa Hj Aman.

Komen Anda

0 Responses to "Program Juara Rakyat “Ekonomi dan Keusahawanan” UMNO Tawau"